Cara Buat Mi Sendiri Walaupun Tak Ada Mesin, Sedap Tanpa Pengawet & Pewarna Tiruan.

buat mi

Cara Buat Mi Sendiri Walaupun Tak Ada Mesin, Sedap Tanpa Pengawet & Pewarna Tiruan| Ada masa-masa tertentu, tekak rasa teringin sangat nak makan mi. Tapi bila periksa barang dapur, memang tak ada langsung mi. Nak keluar ke kedai pula malas. Jadi, apa nak buat? Inilah masanya untuk anda cuba membuat mi sendiri. Walaupun tak ada mesin khas, sebenarnya anda boleh membuat mi sendiri di rumah. Tak susah pun rupanya!

Kami kongsikan cara buat mi homemade hasil resepi asal Puan Fahrini Marsyaley. Langkahnya amat mudah dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang biasanya memang ada di rumah. Mari ikuti perkongsian beliau selengkapnya.

CARA BUAT MI TANPA MENGGUNAKAN MESIN

Mi ’emergency’ ini saya buat, sebab nak makan sangat. Tapi, gara-gara tak ada mi langsung di rumah dan malas pula nak keluar pekan, saya pun cuba Google resepinya. Kebetulan semua bahan dah ada di dapur.

Tiba-tiba dapat idea dari langit. Jadi, apa lagi. Beraksilah saya walaupun saya tak ada mesin membuat mi. Saya canai doh pakai kayu pencanai, potong halus-halus pakai pisau, rebus dan tadaa siap mi goreng saya. Licin pula tu. Sedap, satu famili suka. mi yang terhasil ala-ala kuey teow. Yang paling best, ianya buatan sendiri dan tak menggunakan sebarang bahan pengawet, pewarna, atau MSG. Pewarna cuma guna kunyit saja.

Ini saya senaraikan bahan dan langkah-langkah membuatnya.

BAHAN-BAHAN BUAT MI SENDIRI
*untuk hidangan 2-4 orang

  • 250gm tepung gandum
  • secubit garam
  • 1 biji telur ayam
  • 50ml air (tapi saya lebihkan sedikit sukatan supaya doh dapat di uli dengan baik)
  • 1 sudu teh serbuk kunyit

CARA-CARA BUAT MI SENDIRI
1. GAULKAN BAHAN
Pertama sekali, gaulkan semua bahan sampai menjadi doh dan tak melekat di tangan.

2. BAHAGI DOH KEPADA BAHAGIAN KECIL
Seterusnya, potong doh kepada 4-5 bahagian.

3. CANAIKAN
Kemudian, canaikan satu-satu hingga nipis. Bila dah puas hati, potong halus-halus guna dengan menggunakan pisau.

buat mi

Begini hasilnya.

buat mi

4. REBUS
Pastikan air rebusan mendidih baru masukkan mi ke dalam air. Rebus dalam jangka masa seminit dua saja. Jangan terlalu lama ya, nanti mi jadi lembik. Angkat dan toskan cepat-cepat di bawah aliran air paip sejuk supaya memberhentikan mi daripada terlebih masak. Ulangi proses ini hingga doh habis.

buat mi

5. GORENG SEPERTI BIASA
Bila dah ada mi, bolehlah sediakan bahan untuk menggoreng mi seperti biasa. Letak bawang, ayam, telur, sawi, atau apa-apa saja yang ingin diolah mengikut menu pilihan. Bila dah masak, beginilah kejadiannya. Nampak sedap tak?

buat mi

MI HOMEMADE LEBIH SIHAT DAN SEDAP!
Bagi yang ada mesin membuat mi lagi senang. Masukkan saja ke dalam mesin. Memang cantiklah nanti kejadiannya. Oleh kerana saya tak ada mesinnya, sebab itulah saya cari idea ini. Alhamdulillah menjadi juga.

Terima kasih sahabat semua yang sudi membaca perkongsian saya. Alhamdulillah dapat share ilmu baru dengan anda semua. Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *